Monday, 29 September 2014

IMPLIKASI TERHADAP KEMAJUAN NEGARA

      Dasar Inggeris terhadap Tanah Melayu dapat dilihat daripada beberapa tindakan pemerintah Inggeris terhadap kedatangan orang-orang asing ke Tanah Melayu. Dalam hal ini ia dapat menentukan persoalan bagaimana Inggeris membantu mewujudkan masyarakat Malaysia yang majmuk. 

     Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan terhadap kemajumukan ras, tetapi merangkumi pelbagai aspek dalam politik, ekonomi dan sosial. Perbincangan mengenai tajuk ini dapat difahami jika kita melihat beberapa dasar Inggeris seperti huraian berikut .

i. Politik

      Sejak tahun 1874 dasar imigrasi Inggeris berbentuk bebas iaitu tidak mempunyai sekatan terhadap kemasukan orang asing. Dalam hal ini Inggeris seolah-olah menggalakkan kemasukan orang asing melalui sistem-sistem kemasukan seperti kontrak, dan bebas. Hal ini berbeza dengan tindakan Inggeris pada 1930an, dengan Inggeris memperketatkan dan menguatkuasa dasar imigrasi dengan bertindak menghantar pulang orang-orang imigran balik ke negara asal mereka. 

         Selain itu, undang-undang imigrasi pada tahun 1930an juga menghalang kemasukan baru orang asing ke Tanah Melayu. Seperkara yang menarik tiadanya sekatan terhadap kemasukan orang asing ke negara ini sebelum undang-undang imigrasi 1930an disebabkan oleh keperluan Inggeris untuk mendapatkan tenaga buruh bagi menrancakkan ekonomi perlombongan dan peladangan selain buruh bagi melaksanakan pembinaan prasarana baru seperti pembinaan jalan keretapi dan jalan raya.

        Keadaan ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan jabatan Perlindungan Orang Asing bagi melindungi para buruh imigran daripada tindasan dan penganiayaan para kongsi gelap mahupun majikan. Dengan wujudnya jabatan ini, ini bermakna buruh-buruh ini dilindungi oleh pemerintah Inggeris dan ia menunjukkan bahawa seolah-olah kerajaan Inggeris menggalakkan kemasukan buruh asing. Ini juga menjelaskan bahawa terdapat tindakan dan dasar kerajaan Inggeris mempastikan mereka tidak kehilangan buruh bagi menjana ekonomi Tanah Melayu.

        Hal ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan undang-undang buruh yang memerlukan para majikan untuk memberikan kemudahan yang sepatutnya kepada buruh imigran ini. Dengan keadaan ini ia bukan sahaja menggalakkan kemasukan buruh asing, tetapi menggalakkan mereka untuk tidak pulang ke negara asal mereka. Hal ini terbukti semasa kemelesetan ekonomi 1927-1932 orang-orang asing ini keberatan untuk pulang ke negara asal mereka dan ini menjadi masalah kepada pemerintah Inggeris.

    Oleh itu, merujuk dasar-dasar pemerintahan Inggeris ini membuktikan bahawa kewujudan masyarakat majmuk di negara ini adalah hasil pelaksanaan dasar yang berkehendakkan buruh imigran bagi menjana ekonomi dan membolehkan penjajah mendapat keuntungan ekonomi dengan tidak mengambil kira permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat pribumi

ii. Ekonomi

      Dasar ekonomi komersial, kapitalisme dan bebas yang berlaku menyebabkan perubahan sistem daripada sara diri kepada sistem komersial. Oleh hal ini, pembukaan tanah dan ladang serta peningkatan pelombongan bijih timah telah banyak berlaku mendorong kepada wujudnya sistem ekonomi moden berteraskan industri berasaskan buruh. Disebabkan hal ini maka keperluan pemodenan prasarana baru yang memerlukan tenaga buruh di perkenalkan dan berlakulah kemasukan buruh-buruh asing.

iii. Sosial/Pendidikan

        Penekanan aspek ini lebih dijuruskan kepada Dasar pendidikan pemerintahan Inggeris. Melalui dasar ini dapat dijelaskan lagi bagaimana wujudnya masyarakat majmuk di Malaysia. Melalui dasar pendidikan yang berteraskan negara ibunda, Inggeris menggalakkan lagi perbezaan kaum dan ia juga melebarkan lagi jurang perpaduan di Malaysia. Hal ini dapat dilihat melalui tindakan Inggeris yang tidak menyeragamkan sukatan pendidikan dan pendidikan guru. Sebagai kesan daripada keadaan ini wujud sukatan pendidikan yang berbeza serta keperluan guru berasaskan tindakan komuniti setiap kaum di Malaysia.

       Sebagai contohnya setiap kaum mengambil inisiatif dengan mengikut sukatan pendidikan serta mengambil para guru dari negara asal mereka. Keadaan ini menjelaskan bahawa Inggeris tidak mempunyai agenda bagi menghalang ketidakseragaman dalam dasar pendidikan mereka. Bagi orang-orang Melayu ia hanya mendapat pendidikan kemahiran bagi mengerjakan kerja-kerja sara diri sahaja dan tidak memberi peluang untuk mendapatkan kemahiran dan ilmu akedemik. Walaupun wujud keadaan ini ia dikhaskan kepada anak-anak para bangsawan Melayu sahaja. 

          Dalam hal ini, keadaan dasar ini sebenarnya menggalakkan lagi kemasukan orang asing kerana mereka tahu bahawa mereka masih lagi memperoleh pendidikan walaupun di negara asing. Ini juga menjelaskan lagi bahawa Inggeris sebenarnya menggalakkan kemasukan mereka dan menjaga kebajikan mereka bagi keuntungan ekonomi penjajah.

No comments:

Post a Comment

 
 
Blogger Templates