Monday, 29 September 2014

ISU KEGANASAN

          Konflik etnik dan ras merupakan cemuhan terhadap peradaban manusia. Kurniaan Tuhan supaya setiap kaum berbangga dengan keunikan fizikal masing-masing telah dijadikan punca perbalahan antara kaum. Sungguhpun konflik etnik dan ras telah pun wujud sejak awal kewujudan manusia, namun ia masih berlarutan sehingga hari ini. Pada hari ini, konflik etnik dan ras tetap wujud di setiap pelusuk dunia.

       Ternyata, konflik yang berpunca dari ketidakadilan dan rasa tidak puas hati antara manusia disebabkan oleh perbezaan warna kulit dan budaya yang masih ketara. Konflik yang berlaku di negara-negara bekas Persekutuan Soviet, Eropah Timur, Palestin, negara Afrika seperti Rwanda, juga di negara maju seperti Amerika Syarikat dan baru-baru ini di negara jiran kita Indonesia telah membuktikan kepada manusia sejagat bahawa ketegangan suku kaum telah membawa kepada keganasan dan konfrontasi. Maka, timbullah persoalan sama ada konflik etnik dan ras akan berkesudahan? 

2.1 Maksud Ras

      Ras ( Race ) adalah kumpulan manusia yang terdiri daripada lelaki dan perempuan yang berkongsi ciri-ciri biologi tersendiri yang diwarisi, dan dapat dibezakan dengan jelas dalam masyarakat. Pada suatu ketika dahulu, manusia pernah dibahagikan kepada kategori Caucasoid, Mongoloid, Negroid dan Australoid dengan berdasarkan kepada perbezaan fizikal seperti warna kulit, warna rambut, rupa bentuk dan lain-lain.

     Walau bagaimanapun, pembahagian sedemikian adalah secara kasar sahaja kerana memang terdapat golongan yang sukar diklasifikasikan ke dalam mana-mana kumpulan ras. Ini adalah kerana manusia sentiasa bergerak, bersosial, berinteraksi dan perkahwinan campur sering berlaku di antara satu sama lain. Kesannya akan menghasilkan golongan baru yang mempunyai keturunan campuran yang tidak dapat digolongkan ke dalam mana-mana kumpulan ras.

          Menurut Academic American Encyclopedia, ras boleh didefinisikan sebagai teori atau falsafah yang menyatakan seseorang mewarisi ciri-ciri seperti warna kulit, rupa bentuk, warna rambut, tingkah laku, kelakuan atau tahap intelektual. Pengertian sedemikian menyebabkan sesetengah manusia menganggap kaum mereka adalah lebih unggul daripada kaum lain.

           Penyalahgunaan konsep ras dalam konteks ini menyebabkan berlakunya prasangka dan diskriminasi di antara golongan tertentu di dalam dunia. Walau bagaimanapun, pengertian ini disangkal oleh Encyclopedia of Religion. Sebaliknya menurut Encyclopedia of Religion, manusia tidak sepatutnya dikelaskan mengikut ras. Manusia adalah dalam satu kelas yang sama dan setara. Tiada manusia yang lebih baik atau handal dari yang lain semata-mata kerana perbezaan warna kulit, rupa bentuk dan sebagainya.

         Pada hakikatnya, ras memang sukar untuk didefinisikan dengan jelas dan tepat kerana telah berlaku campur aduk golongan yang tulen disebabkan migrasi dan perkahwinan campur. Ramai ahli sosiologi turut bersetuju dengan pendapat sedemikian. Contohnya, Van den Berghe, berpendapat bahawa istilah ras itu mengelirukan kerana ianya mempunyai empat pengertian utama.

2.2 Empat Pengertian Utama ‘Ras’

  1. Ras digunakan sebagai satu konsep biologi untuk membezakan manusia atas dasar perbezaan “ phenotype “ dan “ genotype “. Walau bagaimanapun, tiada sebarang persetujuan yang dicapai oleh ahli antropologi dan sosiologi dan kebelakangan ini pengertian ini telah pun ditolak oleh sebahagian besar pakar sains sosial.
  2. Ras juga digunakan untuk memerihalkan suatu kelompok manusia yang mempunyai beberapa ciri kebudayaan yang sama seperti bahasa dan agama.
  3. Ras juga digunakan secara longgar sebagai erti sekata dengan perkataan spesies
  4. Ras juga digunakan untuk merujuk kepada suatu kelompok manusia yang menganggap diri atau dianggap oleh kelompok lain sebagai berbeza daripada kelompok-kelompok mereka atau dasar perbezaan fizikal yang tidak dapat diubah. 

2.3 MAKSUD ETNIK

       Etnik pula tidak dipengaruhi oleh faktor biologi tetapi ianya merujuk kepada golongan yang berkongsi budaya yang diwarisi. Golongan dari etnik yang sama akan mempunyai kesamaan dari segi asal-usul, bahasa dan agama. Pada dasarnya ras dan etnik adalah hampir sama dari segi pengertian dan bagi mengelakkan kekeliruan, konsep “ kelompok etnik “ digunakan bagi merujuk kepada golongan yang berbeza dari segi kebudayaan, kepercayaan, adat resam, bahasa, agama dan sebagainya.

    Walau bagaimanapun, dari segi amalan perbezaan di antara konsep ras dan etnik kadang-kala menjadi kabur dan kedua-duanya digunakan secara saling ganti seperti di Malaysia, di mana kelompok-kelompok Melayu, Cina dan India yang sepatutnya dikenali sebagai kelompok-kelompok etnik juga dipanggil kelompok-kelompok ras dalam keadaan tertentu.

2.4 Konsep Rasisme

       Konsep Rasisme adalah prasangka atau prejudis yang merupakan akar umbi segala bentuk rasisme. Prasangka adalah satu pandangan yang buruk terhadap individu atau kelompok manusia lain dengan hanya merujuk kepada ciri-ciri tertentu seperti ras, agama, pekerjaan, jantina atau kelas. Sebagai contoh, kaum kulit hitam dianggap kurang dari segi intelektual dan kekayaan.

      Kebiasaannya, prasangka timbul akibat penilaian awal yang dibentuk tidak dirujuk dengan tinjauan terhadap fakta-fakta yang sebenar. Perasaan prasangka sering kali dijadikan alat oleh golongan minoriti.

       Walau bagaimanapun, ia tidak beerti bahawa golongan minoriti yang tertekan tidak mempunyai prasangka terhadap anggota majoriti atau kelompok lain. Kesan dari prasangka yang semakin menebal, lama-kelamaan kebencian secara membuta tuli tanpa sebab dan dikaitkan dengan keganasan dan kemusnahan. Kes “ pembersihan etnik “ yang terjadi pada kaum Yahudi semasa pemerintahan Hitler merupakan contoh terbaik, di mana rasisme telah mengakibatkan beribu-ribu keturunan Yahudi menjadi mangsa dalam tindakan untuk menonjolkan kaum Jerman sebagai kaum terunggul.

     Sifat perkauman jika dibiarkan berterusan boleh mengancam kestabilan politik dan keamanan negara. Negara kita juga pernah mengalami peristiwa berdarah akibat dari rusuhan kaum dalam peristiwa 13 Mei 1969, sehinggakan keadaan darurat terpaksa diisytiharkan di seluruh negara kita. Konflik ras juga boleh mengakibatkan pengasingan kumpulan-kumpulan tertentu dari segi pelajaran, perumahan dan pekerjaan. Kaum-kaum minoriti yang tertindas akan tersisih dari segi kawasan perumahan, peluang pendidikan dan pekerjaan. Terdapat juga kaum-kaum yang tinggal jauh dari kemajuan sebagai contoh kaum Negro, ramai daripada mereka yang masih tinggal di kawasan-kawasan yang mundur.

2.5 Isu Keganasan Di Malaysia

       Isu perkauman memang tidak dapat dielakkan apabila terdapat golongan atau kumpulan manusia yang mempunyai beberapa ciri kesamaan seperti biologi atau budaya cuba mempertahankan golongan masing-masing dan pada masa yang sama menindas kaum lain. Banyak organisasi politik dan sosial di negara kita dibentuk berasaskan kepada garis perkauman atau etnik.

       Organisasi sedemikian hanya memperjuangkan kepentingan dan merebut hak-hak yang dirasakan perlu tanpa memikirkan kepentingan golongan lain, keharmonian dan kesejahteraan negara. Konflik ras juga boleh mengakibatkan pengasingan kumpulan-kumpulan tertentu dari segi pelajaran, perumahan dan pekerjaan.

       Organisasi-organisasi yang demikian akan bersaing untuk mendapatkan sokongan seluas mungkin dari kumpulan etnik masing-masing dengan menggunakan beberapa faktor penting seperti persamaan bahasa, agama, ras atau pengenalan etnik. Apabila kepercayaan dan tindakan demikian meluas dalam masyarakat, sudah tentu ia akan dapat mempengaruhi dan kadang-kadang menentukan perkembangan poitik dalam sesebuah negara.

       Kesan penjajahan merupakan faktor utama punca konflik etnik dan ras di Malaysia. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaannya selama 40 tahun, tetapi kesan penjajahan British masih segar di minda setiap rakyat. Dasar pemerintahan British bercorak pecah dan perintah telah mengasingkan tiga golongan utama bangsa di Malaysia iaitu golongan Melayu, Cina dan India.

        Dasar kolonial mengenai imigrasi, pelajaran, pentadbiran, ekonomi, tanah, bahasa dan kebudayaan telah meninggalkan kesan yang berpanjangan sehingga sekarang. Dasar imigrasi nya yang bebas telah mengubah sama sekali komposisi penduduk di negara ini. Dasar ekonominya pula telah menyebabkan timbul pengkhususan ekonomi mengikut etnik dan pengasingan tempat tinggal di kalangan mereka akibat dari kegiatan ekonomi yang berlainan.

    Penjajahan Inggeris tidak menjadikan pendidikan sebagai alat penting untuk menyatupadukan rakyat yang berbagai etnik itu. Malah apa yang dilakukan ialah mementingkan pendidikan bahasa inggeris kepada segelintir rakyat khususnya golongan yang berada demi kepentingan pentadbirannya. Sedangkan pendidikan Melayu dilakukan secara melepaskan batuk di tangga sahaja. Pendidikan untuk orang-orang bukan Melayu tidak dipedulikan langsung.

        Oleh sebab itu, orang-orang Cina dan India terpaksa mengendalikan sekolah mereka sendiri dan menanggung perbelanjaan sendiri. Perkembangan pendidikan yang tidak terkawal ketika itu akhirnya menimbulkan sikap dan orientasi politik yang berbeza. Di samping itu, melalui dasar dan pentadbirannya pula, Inggeris telah meninggalkan kesan psikologi yang meluas di kalangan rakyat dengan menanam prasangka dan stereotaip di kalangan mereka.

       Penjajahan Inggeris akhirnya Berjaya mempengaruhi sikap orang yang dijajah nya itu supaya menghormati dan menyanjung tinggi mereka sebagai kumpulan yang lebih tinggi daripada kumpulan-kumpulan ras yang lain pada ketika itu. Sebaliknya pula, terdapat banyak prasangka dan stereotaip negatif yang memandang rendah dan hina di kalangan berbagai kumpulan ras. Hal ini bukan sahaja menghalang wujudnya kerjasama dan persefahaman di kalangan mereka tetapi juga boleh menimbulkan syak wasangka dan perasaan benci membenci di kalangan mereka. Semua kesan ini sukar untuk dikikis habis-habisan biarpun kita telah lama bebas dari belenggu penjajahan British.

No comments:

Post a Comment

 
 
Blogger Templates